Boleh musafir tanpa mahram

Boleh musafir tanpa mahram

Pada zaman sekarang, ramai wanita memiliki pendidikan serta kerjaya yang hebat. Perkara itu menyebabkan ada dalam kalangan isteri perlu bermusafir ke luar negara bagi urusan kerja selain melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Persoalannya, bolehkah seorang wanita atau isteri pergi ke luar negara tanpa ditemani suaminya?

Fadliya

Alor Gajah, Melaka

Tidak dinafikan, hidup pada zaman serba moden memberi kesan terhadap cara hidup umat Islam masa kini.

Golongan wanita pada hari ini berkebolehan melakukan pelbagai perkara yang turut diceburi golongan lelaki.

Walaupun bergelar seorang isteri dan ibu di rumah, mereka turut berperanan sebagai pekerja atau majikan.

Ramai wanita bekerja pada hari ini ingin membantu suami menjana pendapatan buat keluarga mereka.

Ia berbeza dengan cara hidup dan keperluan kaum wanita zaman dahulu, terutama ketika zaman kebangkitan Islam di mana kaum wanita mempunyai tugas berbeza.

Justeru, terdapat keperluan wanita pada hari ini perlu meninggalkan tanggungjawabnya dalam perkahwinan sama ada tugasnya sebagai isteri atau ibu demi menunaikan tuntutan lain seperti bekerja atau melanjutkan pelajaran.

Dalam satu hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Tiada boleh wanita bermusafir kecuali bersamanya mahram.”

Berdasarkan hadis itu, ia menjelaskan seseorang wanita itu tidak boleh bermusafir melainkan ditemani atau turut bersama mahramnya.

Namun, hukum itu terpakai kepada keperluan seorang wanita untuk mengerjakan haji dan umrah.

Kerajaan Arab Saudi mengetatkan syarat bagi seorang wanita menunaikan haji dan umrah wajib pergi bersama mahramnya sebagai mengambil maklum riwayat hadis itu sebagai salah satu sumber hukum.

Kembali kepada isu seorang wanita bergelar isteri yang perlu ke luar negara atas urusan kerja atau melanjutkan pelajaran, biasanya setiap perjalanan menggunakan pesawat.

Maka, sudah pasti di dalam pesawat berkenaan turut dinaiki orang lain yang menuju ke destinasi sama. Oleh itu, wanita itu boleh bermusafir ke luar negara tanpa mahramnya.

Ini disebabkan perjalanannya adalah dalam keadaan aman, tidak berlakunya kezaliman atau kemudaratan ke atas dirinya yang berada dalam kelompok manusia yang ramai itu.

Selain itu, keadaan negara yang bakal dijejaki wanita itu juga lazimnya sudah tersedia kumpulan sokongan daripada pihak kerajaan atau pentadbir hal ehwal pelajar di sana.

Maka, pihak berkenaan pastinya bakal membantu menjamin segala keperluan dan kebajikannya dalam keadaan baik.

Itulah yang dikatakan keadaan semasa atau ‘urf’ (adat) pada masa kini berubah menyebabkan sesuatu hukum selari dengan keperluan dan keadaan semasa.

Bagaimanapun, segala kemungkinan yang memudaratkan itu perlu dipastikan dihilangkan. Ia bagi mengharuskan sesuatu perkara sebagaimana keharusan wanita itu bermusafir tanpa mahram.

Terdapat fatwa seperti dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor bertarikh 11 Jun 2001 memutuskan keharusan seorang wanita berziarah tanpa ditemani mahram.

Keputusan jawatankuasa itu menggariskan keharusan wanita bermusafir untuk berziarah selepas dipastikan terjamin keselamatannya, sudah mendapat keizinan suami atau mahram (jika ada), bersama dalam keadaan menghimpunkan ramai penumpang seperti kapal terbang, kereta api atau bas.

Perjalanan wanita itu juga hendaklah tidak menimbulkan fitnah, keraguan serta lain-lain syarat lagi.

Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor itu adalah contoh hukum bagi wanita bermusafir tanpa mahram diharuskan selari dengan kehendak dan keperluan serta pemakaian adat umat Islam pada masa kini.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:31 AM – Suriany Awaludin